Tuesday, 19 August 2008

Jumlah SABK telah bertambah di Kelantan

MB rakam terima kasih kementerian bantu sekolah Yik
Lanjusoh
Tue | Aug 19, 08 | 6:24:49 pm MYT
KOTA BHARU, 19 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan di atas pendaftaran 20 sekolah agama rakyat (SAR) dengan Kementerian Pelajaran bagi membolehkan bantuan kewangan disalurkan. Iklan



Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, alangkah manisnya jika sikap lunak seperti itu dapat diamalkan lebih awal dahulu.

"Langkah ini adalah usaha permulaan ke arah melihat tanggungjawab memelihara agama, sesungguhnya ia adalah peranan bersama.

"Ia sekaligus menghidupkan semula saluran bantuan perkapita kepada SAR di seluruh negara yang dihentikan sejak Mac 2002.

"Kami cukup menghargai kesudian Kementerian Pelajaran menerima kedua-dua syarat yang ditetapkan kerajaan negeri," katanya dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bertarikh 14 Ogos lalu.

Pada 12 Ogos lalu berlangsung majlis menandatangani perjanjian persefahaman di antara Kementerian Pelajaran dan Yik bagi membolehkan 20 sekolah agama bantuan kerajaan negeri didaftar di bawah kementerian.

Turut hadir menyaksikan majlis penuh bersejarah itu Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Hussien dan pegawai kanan kementerian. Majlis itu diadakan di Balai Islam, Lundang.

Menteri Besar berkata, biar pun pendaftaran dibuat namun kurikulum sekolah agama tidak dipinda.

Manakala pelantikan, penempatan, pertukaran dan kenaikan pangkat guru serta kemasukan pelajar kekal di bawah bidang kuasa Yik.

"Melalui proses give and take dalam roh kesedaran dan tolak ansur demi kebaikan bersama inilah saya melihat indahnya persefahaman yang berlangsung baru-baru ini.

"Alhamdulillah dengan termenterainya MoU antara Kementerian Pelajaran dan Yik maka rasmilah pendaftaran 20 sekolah agama negeri sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).

"Semoga Allah S.W.T sentiasa mempermudahkan segala kerja ibadah kita dalam segenap amal dakwah untuk membawa Islam terus ke hadapan, InsyaAllah," ujarnya. - mj _

No comments: