Belia digesa kuasai ilmu agama
KUALA PILAH 19 Ogos – Golongan belia diminta mengisi diri dengan ilmu keagamaan bagi mengelak daripada terjerumus ke dalam kancah jenayah dan masalah sosial.
Ketua Polis daerah, Supritendan Ja‘afar Baba, berkata, langkah berkenaan berupaya menguatkan rohani dan jati diri golongan tersebut serta mendidik mereka menjadi anggota masyarakat yang lebih bertanggungjawab.
Menurut beliau, golongan belia sepatutnya menyumbang secara positif kepada keselamatan negara dan bukan menjadi beban kepada masyarakat.
‘‘Selain langkah penguatkuasaan undang-undang, kesedaran diri serta kekuatan rohani mampu mencegah golongan belia daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial seperti mencuri, ketagihan dadah dan rogol,” ujarnya.
Ja‘afar berkata demikian ketika berucap merasmikan program Forum Pencegahan Jenayah peringkat daerah anjuran Ibu Pejabat Polis daerah dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan daerah di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah dekat sini kelmarin.
Tambah beliau, golongan belia juga digalakkan menyertai program pendidikan pencegahan jenayah yang dianjurkan kerajaan kerana ia boleh dijadikan pedoman untuk menghindarkan diri daripada terjebak dalam kancah jenayah.
No comments:
Post a Comment