ARKIB : 29/06/2008
-->
Kelantan setuju daftar sekolah agama rakyat
KOTA BHARU 28 Jun - Kementerian Pelajaran dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) mencapai persetujuan supaya semua sekolah agama rakyat (SAR) di negeri ini dijadikan sebagai sekolah agama bantuan kerajaan yang dikendalikan oleh kementerian tersebut.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagi peringkat awal Sekolah Rendah Agama Tengku Amalin Aisyah Puteri dan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin Aisyah Puteri didaftarkan sebagai sekolah agama bantuan kerajaan serta menerima peruntukan sebanyak RM6 juta.
Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai tujuan politik untuk meminta semua sekolah terbabit didaftarkan tetapi ia bagi memberi kemudahan kepada pelajar serta guru sekolah berkenaan.
"Saya sebenarnya berterima kasih kepada kerajaan Pas Kelantan dan YIK kerana duduk berbincang secara realistik untuk kebaikan semua pihak.
"Kita pula mahu mendaftar bukan untuk mempolitikkan isu ini, tujuan kita bukan mahu merampas tanah-tanah sekolah agama rakyat, apa yang penting SAR memerlukan pembelaan disebabkan keadaan mereka yang daif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Wacana Pendidikan Pelan Pembangunan Induk Pelajaran (PIPP) 2006 - 2010 di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, perbincangan mengenai pendaftaran SAR masih dijalankan dan sekarang berada pada peringkat terakhir.
"Bagaimanapun tidak wajar untuk saya buat pengumuman, biarlah pihak kerajaan negeri bersama wakil kami buat pengumuman secara bersama," katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM250 juta daripada RM3 bilion peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk tahun ini kepada Kelantan.
Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak RM64 juta disalurkan kepada rakyat Kelantan menerusi tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM); RM35 juta (Skim Bantuan Tuisyen); RM4.8 juta (Rancangan Makanan Tambahan) dan RM4.8 juta untuk Program Susu Sekolah (PSS).
"Selebihnya akan disalurkan melalui biasiswa kecil persekutuan, biasiswa kelas persediaan universiti dan asrama harian.
"Selain itu, kita akan memastikan semua projek di bawah RMK-9 di negeri ini dijalankan mengikut jadual walaupun kerajaan menghadapi masalah ekonomi ekoran kenaikan harga minyak dunia," katanya.
No comments:
Post a Comment