cSAR: Segelintir ibu bapa profesional anggap sekolah kebangsaan tidak Islamik
KEPALA BATAS 4 Nov. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kecenderungan segelintir ibu bapa profesional menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah agama rakyat (SAR) kerana menganggap ilmu pengetahuan di sekolah kebangsaan tidak Islamik.
Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka menganggap bahawa ilmu yang mereka pelajari selama ini tidak diperlukan oleh Islam sedangkan kurikulum di sekolah-sekolah kebangsaan (SK) adalah yang terbaik untuk generasi muda dalam menimba ilmu dunia dan akhirat yang seimbang.
Katanya, ibu bapa sedemikian tidak faham bahawa untuk menjadikan anak-anak mereka berjaya, mereka perlu diberi pendidikan yang menyeluruh yang turut melibatkan aspek agama.
Beliau berkata, di sekolah kebangsaan murid-murid bukan sahaja diberikan pendidikan agama agar faham dalam tuntutan fardu ain tetapi juga ilmu untuk tuntutan fardu kifayah, iaitu ilmu untuk kemajuan di dunia.
``Pendidikan agama di SK pada waktu ini adalah satu bentuk pendidikan yang akan tingkatkan ilmu asas pengetahuan agama seseorang dan boleh jadikan mereka seorang Islam yang baik.
``Kurikulum di SK adalah satu sistem pendidikan yang komprehensif dan tidak menumpukan kepada satu aspek semata- mata,''katanya kepada para pemberita selepas menghadiri majlis Mutaqa Ramadan Al-Mubarak di Dewan Milenium di sini hari ini.
Beliau memberitahu demikian ketika diminta mengulas pendedahan Pengerusi Jawatan kuasa Hal Ehwal Islam Negeri Kedah, Fadzil Hanafi yang menyatakan kesemua 43 buah sekolah agama rakyat (SAR) di Kedah didapati terlibat dengan kegiatan negatif termasuk usaha mempengaruhi para pelajarnya supaya membenci kerajaan dan pemimpin negara.
Menurut Abdullah lagi, para pelajar di SK diberi peluang untuk belajar agama supaya mereka benar-benar faham ajaran Islam yang asas bagi memenuhi tuntutan fardu ain dalam Islam di samping para pelajar itu juga diberi pendidikan dalam bidang lain untuk memenuhi tuntutan fardu kifayah.
``Fardu kifayah itu adalah seperti ilmu-ilmu untuk kemajuan di dunia seperti sains, teknologi, pengurusan dan hubung kaitnya dengan kehidupan,'' katanya.
Menurut Abdullah, berdasarkan perbelanjaan per kapita negara, kerajaan membelanjakan RM2,000 bagi seseorang murid untuk pendidikan agama Islam di SK berbanding hanya RM200 di sekolah agama rakyat (SAR).
``Ini menunjukkan bahawa penumpuan untuk pembelajaran agama di SAR agak kurang berbanding di SK.
``Saya beranggapan kehadiran pelajar-pelajar di SAR membazirkan masa semata-mata kerana mereka sepatutnya belajar di SK yang bukan sahaja memberikan peluang untuk memahami agama tetapi memahami ilmu untuk memenuhi fardu kifayah,'' katanya.
Menurutnya, selama ini orang akan mengambil sikap membiarkan SAR beroperasi dengan bebas kerana mereka beranggapan anak-anak mereka yang dihantar ke sekolah itu akan diberikan pendidikan agama yang terbaik.
Bagaimanapun, kerajaan mendapati ada SAR memberikan pelajaran yang tidak cukup untuk bekalan bagi masa depan untuk bekerja dalam pelbagai bidang.
Bagi mengatasi masalah tersebut katanya, Kementerian Pendidikan membuat kajian dan hasil kajian itu akan dimaklumkan kepada kerajaan.
``Keputusan kajian itu nanti akan turut memaklumkan kedudukan SAR itu nanti, '' katanya.
Ditanya adakah kerajaan sudah terlambat dalam menangani masalah di SAR sehingga berlakunya kegiatan-kegiatan negatif, Abdullah berikata, soal lambat tidak timbul dalam isu ini kerana yang penting ialah mengambil langkah bagi membetulkannya.
No comments:
Post a Comment